Saturday, November 3, 2007

Sungai Gombak dicemari diesel

Sungai Gombak dicemari diesel

oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail (Berita Harian 2-11-2007)

posted by Neo SEP060157

SHAH ALAM: Seramai 17,630 pengguna air di daerah Gombak terjejas apabila operasi Loji Pembersihan Air Sungai Gombak dihentikan berikutan air Sungai Gombak dicemari tumpahan minyak diesel, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Fatah Iskandar, berkata sebuah lori tangki yang membawa 10,000 liter diesel terbalik di Kilometer (KM) 36.5 Lebuh Raya Karak dan mencemari Sungai Gombak, kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menghentikan operasi loji berkenaan jam 6.45 petang kelmarin berikutan tumpahan diesel itu memasuki muka sauk loji itu yang dikendalikan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.

"Tindakan segera dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR), MTD, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Puncak Niaga tetapi hujan lebat mempercepatkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Gombak," katanya di sini, semalam.

Abdul Fatah berkata, Puncak Niaga melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan, termasuk memasang perangkap minyak dan membersihkan loji bagi memastikan loji itu dapat beroperasi semula.

Katanya, lapan kawasan membabitkan 17,630 pengguna terjejas sepanjang operasi pembersihan itu, iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kampung Sungai Pusu, Sekolah Menengah Al Amin, British Malaysian Institute (BMI), Tol Lebuh Raya Karak, Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Integrasi dan Stesen Minyak BP Jalan Bentong Lama.

Beliau berkata, Syabas juga mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di daerah itu serta-merta dan menghantar 14 lori tangki bagi membekalkan air ke kawasan terjejas.

"Syabas juga bertindak mengalihkan aliran bekalan air daripada Loji Sungai Gombak kepada Loji Air Sungai Selangor Fasa Dua dan Loji Air Sungai Rumput untuk mengelak kawasan lain turut terjejas," katanya. Abdul Fatah berkata, tindakan pantas Syabas dan Puncak Niaga membolehkan loji itu dibuka semula jam 10.45 pagi semalam dan pengguna yang terjejas mendapat bekalan air bersih secara berperingkat.