Friday, July 20, 2007

Negara bakal hadapi krisis air

Oleh SM Mohamed Idris

BARU-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendedahkan bahawa sejumlah 60 tan sampah dibuang ke dalam Sungai Klang setiap hari. Ini merupakan masalah pencemaran terbaru membabitkan sumber air negara kita. Pada tahun 1997, hanya 20.7 peratus sungai di Semenanjung dianggap bersih. Setiap hari 19,000 tan sisa beracun dibuang di tapak pelupusan sampah dan tidak kurang 70 peratus daripadanya terletak berhampiran sungai. Harus diingat, hampir kesemua sumber bekalan air minuman kita datangnya dari sungai.

Di Selangor sahaja, 23 daripada 27 sumber bekalan air minuman penduduk dicemari sisa buangan industri, najis binatang, logam berat dan bahan kumbahan. Mac lalu terdapat laporan mengenai Sungai Selangor yang membekalkan air kepada kebanyakan kawasan di Lembah Klang mengalami keadaan hampir mati akibat pencemaran campuran bahan kimia, kumbahan dan buangan dari ladang. Bagaimanapun perkara ini mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.
Keadaan yang teruk ini pastinya terdedah kepada umum apabila air yang berbau najis mengalir keluar dari paip kegunaan rumah penduduk Lembah Klang pada Februari lalu.

Hingga ke hari ini pihak berkuasa tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai air yang berbau busuk itu. Sebaliknya dalam tempoh tiga hari pertama krisis itu, lima kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat air yang berkenaan, Syabas, menyebabkan orang ramai bertambah keliru dengan keadaan itu. Air yang berbau busuk akibat pencemaran ammonia dalam air sungai (yang menjadi sumber bekalan air penduduk), dikatakan berpunca daripada sisa najis babi dari ladang ternakan, kilang kelapa sawit, kilang pengoksidaan dan bocoran dari tapak pelupusan sampah.

Berikutan keadaan bekalan air mengeluarkan bau busuk itu, pihak berkuasa telah mengumumkan bahawa satu Jawatankuasa Kabinet berhubung masalah alam sekitar akan dibentuk. Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai jawatankuasa yang baru dibentuk ini berkata, pendekatan yang bersepadu akan dijalankan untuk menangani masalah alam sekitar. Beliau menambah, satu tanda aras akan digunakan untuk memastikan penyelenggara bekalan air dan tapak pelupusan sampah mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Ini merupakan ulasan yang sedih mengenai corak pengurusan sumber air di negara ini.
Selama bertahun-tahun, beberapa orang pakar (termasuk Ketua Pengarah JPS) telah menggesa ke arah strategi pengurusan lembangan sungai yang bersepadu dan cekap demi melindungi sumber bekalan air bersih kita, hidupan dalam air, habitat semula jadi dan kawasan tadahan air tanah tinggi yang dibersihkan.

Ia perlu mengambil kira semua aspek perkembangan sosioekonomi dan pemuliharaan alam sekitar. Ini termasuklah perlindungan dan peningkatan keadaan sungai, tasik, paya, pesisir pantai, sumber air bawah tanah, empangan dan laut. Ia memerlukan pelan jangka panjang yang tersusun dan mapan, pendekatan bersepadu dan penyelarasan yang berkesan bagi semua dasar, plan tindakan dan perundangan bagi memastikan kejayaan matlamat ini.


Strategi
Bagaimanapun daripada apa yang dapat dilihat, kini terdapat strategi pengurusan yang cenderung membawa krisis di mana keputusan dibuat secara ad hoc dan didorong oleh tindakan yang kurang wajar ketika mengendalikan masalah air.
Ini digambarkan dalam perkara yang berikut:

* Tidak ada satu dasar yang menyeluruh mengenai pembangunan dan pengurusan sumber air di Malaysia. Bahagian yang terpisah-pisah ditemui, antaranya, dalam pelbagai Pelan Induk dan Dasar Pertanian Kebangsaan.


* Malaysia mempunyai lebih daripada 30 undang-undang berhubung air di peringkat negeri dan Persekutuan. Pembangunan dan pengurusan sumber air termasuk pentadbiran, perkara yang sepatutnya diuruskan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, diuruskan oleh sekurang-kurangnya 13 buah agensi.

* Definisi lembangan sungai tidak diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang. Tidak ada agensi tertentu yang diamanahkan supaya menyelenggara seluruh soal pengurusan dan perancangan air dengan baik di negara ini, begitu juga dengan aplikasi pendekatan pengurusan lembangan sungai yang bersepadu.

* Akta Kualiti Alam Sekitar, undang-undang persekutuan berhubung pencemaran air di kawasan pedalaman dan Akta Kerajaan Tempatan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk memberi perhatian kepada pencemaran sungai.

* Enakmen Air merupakan undang-undang negeri yang mempunyai peruntukan mengenai soal sungai, membolehkan wujudnya satu sistem bagi kegunaan dan pemuliharaan sungai. Akta Air di sesetengah negeri dipinda untuk turut memasukkan kawalan pencemaran air.

* Akta Bangunan, Saliran dan Jalan, iaitu undang-undang persekutuan, melarang sebarang sisa dibuang ke dalam sungai, terusan, anak sungai atau parit tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

* Undang-undang penggunaan tanah berhubung pengurusan sumber air termasuk Kanun Tanah Negara; Akta Pemuliharaan Tanah; Enakmen Hutan dan Akta Taman Negara; dan Akta Perancangan Bandar dan Negeri.

Pembahagian undang-undang dan tanggungjawab ini memburukkan lagi ancaman kepada ekosistem sungai serta kualiti dan kuantiti air. Keadaan akan bertambah buruk berikutan ketiadaan dasar dan pelan induk untuk menangani masalah pengurusan sumber air yang membabitkan pelbagai kementerian dan pihak berkuasa.

Dasar penggunaan tanah, pembangunan industri, perumahan, pertanian, pelancongan, perbandaran dan pembangunan prasarana terus memberi kesan buruk kepada sumber air. Demikian juga tidak ada pelan yang menyeluruh untuk menanganinya secara lebih bersepadu.
Pengurusan kawasan tadahan air yang cekap memastikan bekalan air berkualiti untuk keperluan masa kini dan generasi akan datang. Memastikan kawasan tadahan air tidak tercemar lebih menjimatkan dari sudut ekonomi berbanding memproses sisa bahan cemar ke dalam loji rawatan air.

Namun tidak banyak usaha dibuat ke arah memulihara sumber-sumber air yang penting. Ini mungkin disebabkan tidak ada keuntungan yang diperoleh apabila memberi perlindungan sedemikian. Sebaliknya kerajaan bersedia melabur sebanyak RM60 bilion dalam prasarana sumber air seperti empangan, takungan, loji rawatan dan sistem rangkaian pengagihan. Teknologi dan bahan kimia untuk rawatan air yang mahal, skim pemindahan air permukaan antara negeri, yang membabitkan berbilion ringgit kini lebih digemari. Jelaslah, tidak ada kesungguhan politik untuk melabur ke arah menguruskan sumber air secara mapan.
Kes air yang berbau busuk tadi mendedahkan keadaan yang memalukan iaitu ketiadaan pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab menjaga mutu air di negara kita. Sejak 1983 apabila Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia menubuhkan Garis Panduan Kebangsaan bagi Mutu Air Minuman (NGDWQ). Mereka bertanggungjawab melaksanakannya di bawah Program Pemantauan NGDWQ. Namun apa yang telah mereka laksanakan masih menjadi tanda tanya kepada kita.


Lebih penting lagi keadaan air minuman kita menunjukkan tidak terdapat undang-undang untuk melindungi air minuman, begitu juga tidak terdapat piawaian statutori untuk air minuman dari segi mendapan, bakteria, parasit, nitrat, besi, plumbum, PAH (hidrokarbon aromatik polinuklear) dan sisa racun makhluk perosak lain.

Di bawah penswastaan, ‘air yang dirawat dengan kualiti minimum yang telah ditentukan lebih dulu’ dibekalkan kepada umum. Apa sebenarnya maksud perkataan ini masih menjadi misteri. Justeru syarikat air tidak perlu mematuhi sebarang piawaian kualiti air meskipun pengguna terdedah kepada risiko kesihatan dan keselamatan daripada karsinogen, kimia pengganggu sistem pembiakan dan racun. Kesemuanya mendedahkan ancaman serius kepada kesihatan awam dan kesejahteraan generasi akan datang.

Dengan keadaan negara kita yang mempunyai sumber air dan taburan hujan yang banyak, kita tidak seharusnya menghadapi masalah kekurangan air atau berpindah dari satu krisis air kepada yang berikutnya. Tetapi anehnya, kita semakin bertukar menjadi sebuah negara yang semakin kekurangan sumber air dan krisis air dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Wee BW

No comments: