Sunday, September 2, 2007

Larangan pembuangan sisa kilang sawit ke sungai

by LOH HL

KOTA KINABALU: Kilang sawit di Sabah dilarang membuang sisa dirawat atau separuh rawat ke sungai atau mana-mana laluan air, sebaliknya perlu menghantar semula ke tanah setelah dirawat mengikut spesifikasi paras BOD3 (Keperluan Oksigen Biokimia) tidak melebihi 1,000 mg/I atau diproses menjadi kompos.

Kilang baru perlu memenuhi kriteria ini, manakala kilang sedia ada diberi masa untuk memenuhi syarat ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan Negeri Sabah bersetuju untuk mengambil langkah menangani masalah pencemaran sungai di Sabah dari sisa dan bahan buangan minyak sawit seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE).

Menurut beliau, kerajaan tidak akan membenar kilang buah atau kilang penapis minyak sawit dibina berdekatan kawasan sensitif seperti kawasan hidupan liar, hulu sungai, punca ekonomi penduduk setempat dan hasil pelancongan.

Beliau berkata, kilang sedia ada yang didapati melakukan kesalahan pencemaran sungai akan diarah supaya sisa buangan disalurkan ke kolam atau menggunakan cara yang sesuai yang tidak mengakibatkan sisa buangan disalurkan ke laluan air dengan BOD3 dihadkan tidak melebihi 100 mg/I.

Bagi yang mempunyai tanah mencukupi dan sesuai berdasarkan tokografi dan peroi akan digalakkan supaya melepaskan sisa buangan ke kolam dengan BOD3 tidak melebihi 1,500 mg/I.

DOE akan melaksanakan langkah ini dalam jangka masa setahun, yang mana penguatkuasaan dilaksanakan melalui perundingan atau semasa membaharui lesen oleh pengusaha kilang. DOE telah memberi kuasa pengawasan dan penguatkuasaan kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Negeri (EPD) untuk menguatkuasakan beberapa kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Menurut Musa, Sabah mempunyai 71 kilang buah sawit dan 20 buah telah memenuhi syarat dengan tidak melepaskan sisa buangan ke sungai tetapi ke kolam untuk dirawat. Pengawasan akan ditumpukan kepada pemilik kilang yang didapati bersalah sebelum ini, kilang bermasalah dari segi pengurusan alam sekitar dan yang didina di kawasan sensitif.

Langkah-langkah ini diperkenalkan susulan laporan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar kepada kerajaan pusat setelah menerima laporan pencemaran yang berlaku di Sungai Long Tui dan Sungai Segaliud oleh kilang minyak sawit.

Musa berkata kilang yang bersalah dalam kes ini sudah diarah menyalurkan sisa buangan ke kolam. Notis juga diserahkan untuk memastikan yang sistem rawatan sisa buangan mengikut peraturan. Pengawasan dan penguatkuasaan berjadual akan dilakukan ke atas kilang-kilang ini.

No comments: