Sunday, September 2, 2007

Program pulihara batu karang

by LOH HL

KEMUSNAHAN banyak batu karang dan semakin kurangnya penyu mendarat di pantai-pantai Terengganu semakin membimbangkan kerana kehadiran batu karang dan penyu sudah lama menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.

Fenomena itu turut meresahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang baru-baru ini telah meninjau sendiri taman laut di Pulau Redang dan perairan sekitar Pulau Bidong ekoran laporan media bahawa banyak hidupan laut terancam oleh aktiviti pembangunan dan pelancongan.

Di Pulau Redang, banyak batu karang mati dan kelihatan terdampar di tepi pantai sehingga keadaan itu jika tidak diatasi segera, boleh mengancam salah satu tarikan pelancong asing ke pulau paling indah di Terengganu itu.

Kini, terdapat 500 spesies batu karang dan kira-kira 3,000 spesies ikan di sembilan taman laut di Terengganu termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Selain batu karang, Idris juga semakin resah kerana tidak banyak lagi penyu terutama dari spesies belimbing mendarat ke Rantau Abang dan beberapa lokasi popular lain termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Usaha membiakkan penyu oleh beberapa pihak termasuk Kolej Universiti Sains Malaysia (Kustem) walaupun menampakkan sedikit kejayaan tetapi sebahagian besar telur penyu yang diram, sebahagian besarnya menghasilkan penyu betina.

Sekiranya anak-anak penyu betina itu dilepaskan ke laut, proses pembiakan secara semula jadi sukar berlaku kerana penyu betina sukar mendapatkan pasangan dan hal inilah yang menyebabkan terlalu kurang penyu-penyu betina mendarat ke pantai-pantai di Terengganu untuk bertelur.

Semasa era Terengganu menjadi destinasi popular penyu, perairan negeri ini menjadi tempat mendarat untuk empat spesies penyu iaitu penyu belimbing, penyu lipas, penyu agar dan penyu karak atau sisik.

Kehadiran penyu-penyu itu menarik berjuta-juta pelancong ke negeri ini untuk melihat penyu bertelur. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, dua spesies penyu iaitu penyu lipas dan karah sukar lagi kelihatan di perairan Terengganu. Pada tahun ini, hanya 1,500 ekor penyu bertelur di pantai-pantai negeri ini berbanding 3,086 pada tahun lalu.

Aktiviti perikanan dan mengutip telur-telur penyu tanpa kawalan turut menjadi punca kepada kepupusan spesies-spesies penyu itu. Banyak penyu mati kerana tersangkut pada pukat nelayan, selain diburu oleh nelayan asing untuk dijual di pasaran Hong Kong dan Taiwan. Selain itu, ada beberapa faktor yang menyebabkan kehidupan batu karang dan penyu semakin terancam. Antaranya, pencemaran termasuk sampah sarap yang dibuang ke laut, pengaliran air tawar dari darat termasuk hotel-hotel ke perairan berhampiran taman-taman laut.

Kajian Kustem mendapati air tawar yang bercampur dengan pelbagai jenis bahan pencuci yang dialirkan dari premis-premis kediaman penduduk, resort dan hotel di pulau-pulau peranginan dipercayai menjadi punca kepada banyak batu karang mati.

Air campuran bahan pencuci itu juga boleh menyebabkan penyu-penyu yang sensitif kepada pencemaran, semakin keberatan untuk singgah bertelur di pantai-pantai.

Tercemar

Di samping itu, perairan laut di Terengganu juga semakin tercemar dengan kehadiran banyak sampah sarap yang turut dipercayai menjadi penghalang kepada penyu-penyu untuk mendarat dan merosakkan batu-batu karang.

Menyedari betapa batu karang dan penyu amat penting sebagai daya tarikan tradisi pelancong asing ke Terengganu termasuk aktiviti penyelaman skuba, kerajaan negeri akan membantu pihak pengurusan taman-taman laut untuk menambah jumlah tukun tiruan di perairan negeri itu.

Menurut Idris, selain peruntukan khas daripada kerajaan negeri, beberapa syarikat minyak terkemuka termasuk Petronas dan Exxon Mobil akan dilibatkan dalam projek pembiakan batu karang secara besar-besaran itu.

Pada 16 September ini pula, satu kempen besar-besaran membersihkan perairan negeri ini daripada sampah sarap akan dilancarkan di destinasi pendaratan penyu di Dungun, Terengganu, di bawah program, Clean Up The World.

Beratus-ratus sukarelawan termasuk dari luar negara akan menyertai program membersihkan sampah sarap di kawasan pinggiran pantai sejauh 10 kilometer dari Seberang Pintasan ke lokasi popular penyu bertelur di Rantau Abang. Program yang mendapat sokongan daripada Fondation d'Enterprise Veolia Environment dan kerajaan Aus-tralia, sebelum itu bertumpu kepada usaha membersihkan perairan di beberapa buah negara termasuk perairan sekitar pelabuhan Sydney, Australia.

Ketika program Clean Up The World dilaksanakan buat pertama kalinya di perairan Pelabuhan Sydney pada tahun 1989, lebih 40,000 sukarelawan terbabit dalam kerja-kerja membersihkan perairan di situ dari pelbagai jenis sampah sarap termasuk kenderaan berkarat, plastik dan botol.

Sehingga kini, program yang diasaskan oleh pelayar terkemuka dari Australia, Ian Kieman telah menjadi inspirasi kepada kempen pembersihan perairan pantai membabitkan kira-kira 35 juta sukarelawan di lebih 100 buah negara. Adalah menjadi harapan, usaha yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu dan kempen besar-besaran di bawah Clean Up The World itu, bakal mengembalikan kegemilangan Terengganu sebagai lokasi terunggul untuk pembiakan batu karang dan penyu.

No comments: