Tuesday, September 4, 2007

Sungai Balok warisan pusaka terus diawasi

Oleh Hazri bin Hamzah

Enam syarikat beroperasi di Gebeng buktikan kesungguhan jaga persekitaran, kualiti air saliran

KUANTAN: Keprihatinan menjaga dan memulihara alam sekitar, terutama sungai kini menjadi antara tanggungjawab yang perlu dilakukan enam syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini.

Pelbagai aktiviti dan program kesedaran pada semua peringkat diadakan bagi membuktikan kesungguhan yang dilaungkan tidak hanya cakap kosong yang menyedapkan hati masyarakat.

Bukti terbaru kesungguhan ke arah memastikan air sungai dan persekitarannya tidak terus tercemar ialah dengan mengadakan Program Anak Angkat Sungai Balok, di sini.

Program julung kali diadakan itu dianjurkan enam syarikat iaitu MTBE/Polypropylene Malaysia Sdn Bhd; BASF Petronas Chemicals; Kaneka, Polyplastics, Eastman dan Grace.

Pengarah Urusan MTBE/Polypropylene, Ahmad Hamizan Hasan, berkata program anak angkat Sungai Balok yang julung kali diadakan ini bertujuan memelihara kualiti air dan tahap kebersihan.

Dengan ada program seperti ini kualiti air Sungai Balok akan lebih baik, seterusnya berupaya mengelak kejadian ikan mati seperti dilaporkan sebelum ini.

Walaupun penduduk pesisiran Sungai Balok tidak menggunakan sumber air Sungai Balok bagi tujuan minum, mandi dan mencuci, ia tidak bermakna kualiti air tidak perlu dijaga atau dikawal.

"Apabila kualiti air Sungai Balok berada pada paras memuaskan, kejadian kematian hidupan air seperti ikan, ketam, belangkas dan kupang tidak akan berlaku.

"Air sungai yang bersih akan menambahkan lagi pembiakan hidupan air dan memberi keuntungan kepada nelayan yang menjalankan aktiviti memukat dan memancing," katanya.

Secara tidak langsung ia juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang popular di daerah ini yang sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing dan perkelahan.

Beliau berkata, sebanyak enam projek diadakan pada majlis pelancaran program anak angkat Sungai Balok yang masing-masing menjurus kepada kebersihan, keindahan dan penambahan sumber.

Selain memasang enam unit papan tanda yang tertera `Pemuliharaan Sungai Tanggungjawab Bersama', turut diadakan aktiviti menanam lebih 100 pokok ru di pesisiran muara Sungai Balok.

Aktiviti gotong-royong diadakan disertai penduduk, kakitangan syarikat, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Ahmad berkata, pihaknya juga melepaskan 2,000 anak ikan siakap dalam usaha menambah baik sistem ekologi Sungai Balok seterusnya sebagai sumber pendapatan kepada nelayan dan pemancing.

"Program seperti ini akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti air dan kebersihan Sungai Balok sentiasa terpelihara dan menjadi warisan berharga kepada generasi akan datang.

"Untuk membuktikan tahap kebersihan Sungai Balok memuaskan, perlumbaan rakit diadakan pada majlis kali ini," katanya yang berharap masyarakat setempat dapat memberi kerjasama setiap program yang dianjurkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Zakaria Ahmad, berkata program anak angkat Sungai Balok yang diadakan ini berupaya memulihkan imej sungai berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan pencemaran.

"Pihak jabatan akan terus memberi sokongan kepada apa juga aktiviti yang dianjurkan dalam usaha memastikan masalah pencemaran tidak terus berlaku seterusnya menimbulkan kesan kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Usaha yang dilakukan enam syarikat yang beroperasi di Gebeng ini perlu dicontohi kepada pihak lain terutama yang berkait rapat dengan kebersihan dan alam sekitar," katanya.

Penduduk, Razak Mat Daut, berkata usaha menjadikan Sungai Balok sebagai anak angkat oleh enam syarikat yang beroperasi di Gebeng berupaya mengelak daripada berlaku kejadian pencemaran air seperti yang berlaku sebelum ini.

"Saya berharap projek ini tidak berhenti separuh jalan saja kerana tanpa usaha berterusan, masalah kebersihan dan kualiti air akan berulang.

"Apabila pencemaran berlaku, kesan dan tempiasnya terkena kepada penduduk yang akan terjejas dari segi pendapatan," katanya yang berharap kejadian air Sungai Balok bertukar warna kepada merah tidak berulang.

FAKTA: Sungai Balok

· Enam syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng bergabung menjadikan Sungai Balok sebagai anak angkat.

· Selain aktiviti gotong royong, menanam pokok ru dan memasang papan tanda, turut diadakan program melepaskan 2,000 anak ikan siakap ke dalam Sungai Balok.

· Program berkenaan mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan Pahang ,MPK dan penduduk.

· Kualiti air dan kebersihan Sungai Balok akan lebih terjamin seterusnya sesuai dijadikan lokasi pelancongan.

· Penduduk berharap program ini tidak berhenti separuh jalan bagi memastikan episod air Sungai Balok bertukar menjadi warna merah tidak berulang.

No comments: