Wednesday, August 29, 2007

Isu dan Cabaran Dalam Pengurusan Sumber Air

posted by NEO

Selaras dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), penggunaan sumber air untuk aktiviti akuakultur juga telah menyumbang kepada peningkatan hasil dari 50,688 tan matriks pada tahun 2000 kepada 52,566 tan matriks pada tahun 2004. (Rujuk Rajah 1.2)



Rajah 1.2 Jumlah Pengeluaran Akuakultur Malaysia (Tan Matriks)



Isu Dan Cabaran Dalam Pengurusan Sumber Air
Jumlah permintaan air sebanyak 15.2 bilion meter padu pada tahun 2004 hanyalah merupakan 3% dari jumlah keseluruhan air permukaan tahunan sebanyak 566 bilion meter padu yang ada di Malaysia. Walaupun Malaysia mempunyai sumber air yang terjamin dari segi kuantitinya untuk memenuhi keperluan negara, isu mengenai sumber air sering timbul disebabkan oleh:
Terdapat kejadian-kejadian kekurangan air di beberapa tempat di Malaysia. Fenomena ini berlaku kerana taburan hujan yang tidak sama rata di antara kawasan di negara ini dan di dalam kawasan yang sama. Taburan hujan juga tidak sama rata dari musim ke musim serta dari tahun ke tahun. Akibat dari perbezaan dari segi taburan hujan ini, maka aliran air permukaan terutama di dalam sungai-sungai berbeza dari segi kuantiti dan kelajuannya.
Di kawasan-kawasan yang sedang membangun dan memerlukan bekalan air yang banyak, air permukaan sewaktu musim kemarau gagal memenuhi segala keperluan pengguna di tempat-tempat tersebut. Sewaktu musim tengkujuh pula, bekalan adalah melebihi dari keperluan, manakala jumlah aliran air permukaan gagal ditampung oleh sungai-sungai sedia ada dan seterusnya menyebabkan banjir.



Malaysia terletak di dalam zon iklim Khatulistiwa yang sangat dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya. Monsun Timur Laut bermula dari pertengahan November hingga Mac yang membawa jumlah hujan yang banyak dan kesannya dirasai di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Monsun Barat Laut lebih memberi kesan kepada pantai barat Semenanjung Malaysia, namun kesannya tidak begitu ketara disebabkan kawasan itu dilindungi oleh Kepulauan Sumatra. Adalah dianggarkan seluas 29,000 kilometer persegi atau 9% keluasan Malaysia berada di dalam kawasan berpotensi banjir yang melibatkan sejumlah 2.7 juta penduduk.



Satu lagi fenomena yang ketara yang mengancam sumber air di Malaysia adalah penurunan kualiti air sungai. Kualiti air terutama di dalam sungai pada permulaannya tidak tercemar. Kualiti air tersebut menurun apabila merentasi kawasan yang ada penduduk. Penurunan kualiti air ini berlaku selari dengan kepesatan pembangunan sesuatu kawasan tersebut. Dari data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar mengenai status pencemaran ke atas 120 lembangan sungai utama di Malaysia,didapati 9 batang sungai sangat tercemar, 53 sederhana tercemar dan 58 adalah bersih. (Rujuk Rajah 1.3)



Rajah 1.3 : Trend Kualiti Air Lembangan Sungai (1990-2004)

No comments: