Monday, August 6, 2007

Longkang tak diselenggara 14 tahun


SUNGAI PETANI: Lebih 200 penghuni Taman Padi Mas, Sungai Layar dekat sini, bimbang diancam serangan nyamuk aedes berikutan air longkang di situ bertakung kerana tidak diselenggara dengan baik sejak 14 tahun lalu.

Penduduk mendakwa, taman perumahan itu yang mula diduduki sejak 1991 itu tidak mempunyai saliran keluar air longkang sehingga menyebabkan airnya melimpah ke rumah mereka.


Wakil penduduk, Abdul Latif Zainudin, 49, berkata ramai penghuni bimbang jika kes demam denggi yang pernah menyerang penduduk di taman itu berulang.

Sudah lebih lima kali aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) namun masalah itu masih berlarutan malah semakin teruk.

"Setiap kali hujan, penghuni terpaksa berhadapan dengan banjir air longkang busuk yang mencecah ke paras lebih 0.3 meter.

"Kami bimbang air longkang yang bertakung itu boleh menjadi sarang nyamuk aedes," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, masalah itu berpunca kerana air yang memenuhi longkang tidak dapat dialirkan keluar ekoran tiada saluran.

Ekoran itu, air hujan yang terperangkap dalam longkang akan bertakung sekali gus menjadi tempat nyamuk membiak selain berbau busuk.

Abdul Latif berkata, selain taman perumahan itu, dua kampung berdekatan iaitu Kampung Haji Din dan Kampung Belakang Sekolah turut menerima kesan banjir air longkang itu setiap kali musim hujan.

"Seingat saya, kali terakhir MPSP membersihkan longkang di taman ini ialah pada 2004 namun ianya masih gagal menyelesaikan masalah berkenaan.

"Akibat masalah itu, beberapa penghuni mengugut enggan membayar cukai pintu sehingga masalah longkang tersumbat itu diatasi dengan segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPSP, Zubaidah Hanoom Mohamed Yusof, ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam perancangan mengatasi masalah itu.

"Pihak MPSP akan berbincang dengan pemilik tanah di kampung berdekatan untuk membuat aliran keluar air longkang di taman itu.

"Buat masa ini, MPSP akan menyegerakan pembersihan longkang itu dengan mengorek lumpur dan sebagainya bagi mengelak masalah berkenaan berulang lagi," katanya.

No comments: