Thursday, August 16, 2007

Negara dijangka hadapi kemarau terburuk tahun ini

post by Susanne Chi

Negara dijangka hadapi kemarau terburuk tahun ini

Utusan Online

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Selepas bencana banjir besar melanda Johor dan beberapa negeri baru-baru ini, seorang pakar kaji cuaca meramalkan Malaysia bakal menghadapi musim kemarau terburuk dalam sejarah bermula antara bulan Mac hingga Ogos tahun ini.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Cuaca Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Khairulmaini Osman Salleh berkata, fenomena cuaca El-Nino yang membawa musim kemarau itu kini dikesan berlaku di Lautan Pasifik Selatan.

Beliau berkata, kesan kemarau El-Nino kali ini diramal sangat buruk kerana ia muncul selepas 10 tahun. Kali terakhir El-Nino melanda negara ialah pada tahun 1997.

“El-Nino sepatutnya muncul setiap dua hingga tujuh tahun tetapi kali ini ia datang selepas 10 tahun, dan keadaan itu di luar jangkaan para saintis.

‘‘Fenomena yang terlewat ini bukan sesuatu yang baik. Ia bermakna El-Nino yang lebih kuat akan tercetus pada tahun ini,’’ kata Khairulmaini kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

El-Nino yang diramal melanda Malaysia dan Asia Tenggara bakal menjadi lebih bertenaga ekoran pemanasan global sekarang.

‘‘Sejak tahun 1900, El-Nino menunjukkan kesannya semakin hebat dan tempohnya juga lebih panjang.

‘‘Ekoran kelewatan kemunculan fenomena itu, cuaca buruk yang bakal melanda Malaysia sudah pastinya teruk atau sekurang-kurangnya setanding dengan apa yang kita alami 10 tahun lalu,’’ katanya.

Saintis-saintis mengesan fenomena El-Nino peringkat awal sedang berlaku di Lautan Pasifik dan ia bakal membawa perubahan besar kepada cuaca dunia.

Menurut Khairulmaini, jika fenomena itu berpanjangan, maka kemarau yang bakal dialami juga akan lebih lama dan boleh menyebabkan kekurangan air dan kebakaran hutan.

Menurut laporan Pejabat Meteorologi Britain (UKMO), purata suhu permukaan lautan ekoran El-Nino pada tahun ini akan menyamai atau melebihi rekod tahun 1998.

Sementara itu, Ketua Pusat Pencerapan Bumi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mastura Mahmud ketika dihubungi tidak menolak ramalan pakar-pakar dari UKMO itu.

‘‘Banyak model dikaji sebelum ramalan dibuat. Ramalan cuaca biasanya menunjukkan ketepatan antara 80 hingga 85 peratus,’’ jelasnya.

No comments: