Wednesday, August 29, 2007

posted by NEO


Pengukuran Tahap Kualiti Air Sungai Untuk 120 Batang Sungai Utama


Sumber-sumber utama pencemaran sungai ialah bahan organik yang merangkumi sisa buangan domestik dan industri, sisa air buangan dari kilang kelapa sawit, kilang getah dan kawasan-kawasan pemeliharaan haiwan ternakan. Aktiviti perlombongan, pembinaan perumahan dan sistem jalan raya, penebangan kawasan hutan merupakan sumber pencemaran bahan enap utama terutama di kawasan hiliran sesebuah sungai. Pencemaran ini telah memberi kesan negatif ke atas hidupan akuatik di dalam sungai mahupun tasik. Di kawasan Lembah Klang sahaja, adalah dianggarkan sebanyak 50 hingga 60 tan bahan buangan terpaksa dikeluarkan dari dalam sungai-sungai utama kawasan tersebut.


Kawasan hiliran sesuatu sungai di Malaysia pada amnya akan dicemari oleh kelodak terutamanya selepas hujan yang lebat. Di kawasan Lembah Klang, adalah dianggarkan secara purata tahunan, sebanyak 2,950 tan setiap kilometer persegi kelodak mengalir ke sungai-sungai kawasan tersebut. Secara tahunan sebanyak 1 juta meter padu kelodak dikeluarkan dari Sungai Klang. Pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2003 mendapati 37.5% dari 120 batang sungai yang dikaji dicemari oleh kelodak yang disebabkan oleh kerja-kerja tanah untuk pembangunan.


Langkah-langkah Kerajaan Untuk Menangani Isu Dan Cabaran Dalam Pengurusan Sumber Air


Sungai menyumbang sebanyak 97 peratus kepada bekalan air negara kita. Akan tetapi, pencemaran sungai yang tidak terkawal, di samping fenomena banjir dan kemarau memerlukan suatu sistem pengurusan sumber air komprehensif demi menjamin kuantiti dan kualiti sumber air untuk kegunaan rakyat. Dalam mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu (Integrated River Basin Management) telah dilaksanakan.


Pengurusan Sungai Secara Bersepadu ditakrifkan sebagai satu corak pengurusan secara bersepadu ke atas sumber-sumber semula jadi (udara, air, tanah, flora, fauna) di dalam sesuatu lembangan sungai sebagai satu unit geografik. Objektif utama adalah untuk mengimbangi keperluan manusia dan keperluan untuk mengekalkan kelestarian sumber-sumber yang ada.

Kaedah ini menjurus kepada penyeragaman dan integrasi di dalam dasar-dasar, program-program dan amalan-amalan. Secara umumnya, kaedah ini memastikan keadaan semula jadi lembangan sungai dapat dikekalkan dan wujud seiring dengan pembangunan dan kemajuan masyarakat setempat.


Pendekatan di bawah Dasar Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu ini melibatkan dua strategi penyelesaian iaitu langkah-langkah pencegahan dan langkah-langkah pembaikan.



Langkah-langkah Pencegahan


Langkah-langkah pencegahan menekankan kepada strategi dan rangka kerja untuk membantu pembangunan, pemuliharaan, pentadbiran dan memudahkan perancangan dan pengurusan sungai secara bersepadu. Kaedah pencegahan ini melibatkan langkah-langkah bagi mengurangkan masalah seperti banjir, hakisan tebing dan dasar sungai, pemendapan sungai, mengurangkan masalah pencemaran sungai, memulihkan ekologi semula jadi sungai dan memelihara kawasan habitat di persekitaran sungai bagi memberangsangkan kepelbagaian biologi sungai. Program-program yang telah dilaksanakan dalam membersihkan dan memulihkan sungai ialah pembersihan sampah sarap; pembersihan dari kelodak; penempatan semula setinggan; pembinaan seperti perangkap sampah; pengolahan kumbahan domestik/ternakan; pemulihan hidupan air dan kawalan pencemaran air.


Rajah 1.4 Langkah-langkah yang diambil dalam mencegah dan memelihara sungai


Langkah-langkah Pembaikan


Langkah-langkah ini melibatkan usaha-usaha pemeliharaan sungai yang meliputi program-program :

mengekalkan fungsi asal sungai dengan pembinaan jeram, lubuk dan ciri-ciri fizikal sungai yang lain;

menstabilkan dan melindungi tebing secara bio-engineering; dan

menguruskan kawasan sungai dan rizabnya supaya tidak dicerobohi.



Prospek Masa Depan Sumber Air


Sumber air akan terus menjadi sumber kehidupan asas manusia dan haiwan serta aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial. Oleh itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berazam sentiasa memperkukuhkan usaha-usahanya untuk memastikan air diuruskan dengan cekap dan berkesan melalui stratetegi-strategi berikut:


Menyemak dan mengubahsuai undang-undang yang berkaitan sejajar dengan perkembangan semasa kerana instrumen perundangan memainkan peranan penting dalam mengimbangi perlindungan dan pemulihan kawasan tadahan serta pembangunan ekonomi di samping memelihara ekologi sungai dan lembangan sungai.


Memperkukuhkan jabatan dan agensi yang menerajui pengurusan sumber air, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran serta Insitut Penyelidikan Haidraulik Kebangsaan (NAHRIM). Langkah-langkah ini melibatkan:


Penubuhan mekanisme pengurusan bersepadu atau sebuah institusi khusus yang harus selari dengan sempadan lembangan sungai dan bukannya mengikut sempadan politik atau negeri. Penubuhan mekanisme ini sewajarnyalah berupaya menggembleng semua kumpulan pelaksana utama yang terlibat dalam pengurusan lembangan sungai seperti agensi Kerajaan, majlis perbandaran, badan pengurusan air, institusi pendidikan, industri peladang, masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya bagi menyumbang kepada pengurusan lembangan sungai bersepadu .


Memperkemaskan River Basin Decision Support System (RB-DSS) iaitu sistem maklumat berkomputer yang merangkumi beberapa pangkalan data supaya pangkalan-pangkalan data ini boleh berfungsi secara bersepadu untuk menyokong pengurusan lembangan sungai seluruh negara.


Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran untuk meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap penjagaan dan pemeliharaan sungai dan persekitarannya seperti Program Kempen ?Cintailah Sungai Kita? dan Program ?Satu Negeri Satu Sungai?. Usahasama yang erat dan penglibatan badan terbabit dengan penduduk tempatan adalah mustahak dalam meningkatkan peluang kejayaan dalam mencapai perancangan lembangan sungai yang berkesan.


Penyediaan pelan induk Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu bagi semua lembangan sungai untuk dijadikan asas dan garis panduan pembangunan yang merangkumi aspek tebatan banjir, pemuliharaan lembangan, mempertingkatkan pemeliharaan alam sekitar, kualiti air, pengurusan koridor sungai, keperluan rizab sungai, simpanan sungai semula jadi, penentuan aras platform pembangunan, pengurusan aktiviti pasir, kajian institusi dan perundangan dan aspek-aspek lain yang berkaitan.


Sumber:Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)

No comments: