Wednesday, August 29, 2007

Rencana
Mendalami konsep air
Oleh Azlinariah Abdullah (Wartawan Utusan)

posted by NEO

HARI ini sejak tahun 1993, beberapa negara termasuk Malaysia meraikan hari istimewa untuk air, hak asasi manusia paling utama.

Semuanya kerana inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembangunan dan Alam Sekitar (UNCED) mahu air, yang isu-isunya tidak pernah kering diberi perhatian oleh semua pihak.

Setiap tahun dalam tempoh itu pelbagai tema yang sesuai dipilih untuk memperingatinya.
Ambil contoh, tema tahun lalu iaitu `Air Untuk Kehidupan' yang dipilih oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana secara kebetulan tahun 2004 menyaksikan bencana alam terhebat iaitu tsunami melanda sebahagian besar negara Asia sekali gus mengancam kepentingan air untuk kehidupan.

Begitu juga dengan beberapa tahun sebelum itu, tema Hari Air Sedunia kesemuanya dipilih berdasarkan keadaan atau perkembangan semasa.

Sekadar contoh, Air dan Malapetaka dipilih sebagai tema pada tahun 2004 manakala Air Untuk Pembangunan menjadi tema Hari Air Sedunia 2003.

Tema-tema sebelum ini ada kaitan dengan aspek perundangan. Dan secara logiknya, apabila subjek air disentuh, pengakhirannya tentu laras undang-undang.

Analoginya, siapa yang mencemari air atau menyalahgunakan fungsi air akan didakwa dan seterusnya dibebaskan atau didapati bersalah. Ia adalah skop perundangan.

Itu perspektif sebelum ini. Tetapi tahun ini, temanya agak berlainan dan tidak lagi ada hubung kait dengan aspek perundangan. Temanya ialah Air dan Budaya.

Barangkali ada pihak yang mula menyedari bahawa ruang lingkup kepentingan air itu sendiri bukan berdasarkan perundangan semata-mata.

Misalnya begini, dari aspek perundangan di dunia, jika dibebaskan daripada melakukan kesilapan berkaitan air, seseorang itu pastinya tidak dikenakan hukuman. Perkataan mudah: ``Anda seorang yang bijak kerana terlepas hukuman atau didapati tidak bersalah.''Tetapi bagaimana dari aspek keagamaan? Apa pandangan kita jika dikatakan begini: `Di akhirat nanti sesiapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap air akan mendapat balasan.'' Atau diguna-kan perkataan lain: ``Anda berdosa kerana melakukan `penganiayaan' terhadap air.'' Reaksinya barangkali berbeza.

Maka itulah sebabnya tema Hari Air Sedunia tahun ini sedikit `lari' daripada tema-tema biasa. Ia lebih kepada keagamaan dan kepentingan air kepada kebudayaan.

Ini kerana skop kepentingan air itu sendiri bukan sekadar untuk memasak, mandi atau lebih besar bagi kegunaan industri semata-mata.

Namun dalam konteks ini, secara sepintas lalu atau sejujur-jujurnya, apa yang tergambar di fikiran apabila menyebut air dan budaya?

Selama ini, apa soal air disentuh, kita lebih gemar membidas pihak pengurusan air atau merungut jika mendapat air tidak bersih.

Peranan
Selebihnya masalah air itu terbatas kepada soal kekotoran, pencemaran, kemarau serta hal-hal yang akhirnya lebih banyak cenderung kepada soal perundangan.

Tanpa kita menyedari bahawa tanggungjawab terhadap air sebenarnya lebih besar daripada itu.
Dalam setiap lapisan kebudayaan dan agama, air sememangnya memainkan peranan sama penting.

Lihat sahaja dalam agama Islam, umatnya menggunakan air untuk mengambil air sembahyang dan seterusnya membawa pula kepada kebaikan lain, boleh meredakan kemarahan.
Agama Hindu, Buddha dan Kristian begitu juga - menggunakan air untuk tujuan spiritual seperti penyucian dan penyembuhan penyakit serta sebagainya.

``Kita jangan lagi cuba memusatkan fikiran bahawa air adalah untuk kepentingan membasuh atau tujuan industri.

``Benar, air adalah nadi kehidupan, kemudahan asas yang perlu dijaga, tetapi pada akhirnya kita perlu juga akui bahawa selain aspek perundangan, ia penting dari segi tuntutan agama, budaya dan kepercayaan,'' kata Profesor Dr. Zaini Ujang, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa berkata, pemilihan tema bagi Hari Air Sedunia tahun ini amat menarik selain merupakan satu perubahan paradigma yang cukup baik untuk melihat atau mendalami konsep air.

``Ini adalah titik mula untuk kita memperluaskan minda kita tentang air dan kepentingannya.''
Mudah kata, air sama ada dari segi pengurusan, masalah lain yang berbangkit dengannya bukan lagi hal keduniaan sahaja.

Di akhirat nanti katanya, kita juga akan disoal bagaimana cara kita mementingkan air ini dari aspek keagamaan.

Dalam hal ini, kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam memusatkan kepentingan dan menanamkan kesedaran mengenai air.

``Semasa ceramah atau khutbah agama, ada baiknya dimasukkan elemen-elemen berkaitan air dan budaya serta kesedaran kepentingan air.

``Ini supaya nanti, isu-isu pengurusan, pencemaran air bukan lagi menjadi tuntutan fardu ain tetapi fardu kifayah,'' kata beliau.

Zaini juga melihat skop air untuk budaya dan agama ini akan menjadi popular sebagaimana air itu sendiri sering dikaitkan dengan urusan undang-undang.

Mengenai sambutan Hari Air Sedunia di Malaysia, pelbagai ceramah, konvensyen dan seminar diadakan bagi tujuan tersebut.

Antaranya ialah AsiaWater 2006, iaitu pameran dan konvensyen terbesar yang turut merangkumi ceramah mengenai air, cabaran dan masalah yang dihadapi.Ia bermula semalam sehingga 24 Mac ini dan dirasmikan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yeik.

Sementara itu, tidak menafikan kita menggunakan air dalam setiap aspek kehidupan. Ibaratnya, kita membuka mata dan memejam mata bersama-sama penggunaan air.

Dalam lain perkataan, kita menggunakannya setiap hari. Tetapi adakah berbaloi atau adil kita memperingati kepentingan dan jasa-jasa air itu secara khas untuk satu hari sahaja? Justeru, selepas tarikh 22 Mac sekalipun, kepentingan, isu, masalah dan jasa air itu perlu diingati - sekurang-kurangnya setiap hari sebagaimana kita menggunakannya.

FAKTA RINGKAS AIR
* 70 peratus permukaan bumi dilitupi air, tetapi 97 peratus air dunia ialah air masin manakala hanya 2.5 peratus air bersih.
* Lapan peratus sumber air bersih adalah untuk kegunaan manusia dan tujuan pembersihan. 70 peratus diperuntukkan untuk tujuan pertanian manakala 22 peratus digunakan bagi matlamat industri.
* Daripada 191 buah negara di dunia, 10 negara berkongsi 65 peratus sumber tahunan air dunia.
* 18 peratus penduduk dunia kekurangan atau tidak mempunyai akses mendapatkan air bersih untuk diminum.
* 40 peratus penduduk dunia kekurangan asas dalam kemudahan untuk tujuan pembersihan.
* Setiap hari kira-kira 6,000 orang terutamanya kanak-kanak mati akibat penyakit bawaan air.
* Pada tahun 1998, 31 buah negara berdepan dengan masalah kekurangan air kronik dengan menjejaskan 3 bilion orang. Antara negara yang terjejas pada 25 tahun akan datang ialah Habsyah, India, Kenya, Nigeria dan Peru.
* Negara industri yang membayar air paling sedikit ialah Kanada iaitu AS$0.31 untuk setiap meter padu manakala negara membayar paling mahal ialah Jerman dengan kadar AS$2.16 bagi jumlah sama.

No comments: