Monday, August 6, 2007

‘Usah buang bekas racun dalam sungai’

hazri hamzah

KEPALA BATAS: Petani diingatkan tidak membuang bekas racun perosak sesuka hati terutama di dalam tali air dan sungai kerana ia akan menjejaskan ekosistem selain memudaratkan manusia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, sebaliknya berkata, petani perlu membuang bekas racun ke dalam sangkar disediakan Jabatan Pertanian untuk tujuan kitar semula.

Katanya, bekas racun sepatutnya dibuang secara terkawal atau dikumpulkan untuk dikitar semula dan cara itu lebih men
jimatkan selain tidak memudaratkan ekosistem.

"Program Kitar Semula Bekas Racun diharap dapat menyuntik kesedaran di kalangan petani termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal supaya tidak lagi membuang bekas racun sesuka hati.

"Ada beberapa kes petani maut sebaik pulang ke rumah selepas selesai menyembur racun. Jadi, mereka harus fikir semula sebelum membuang bekas racun ke tali air," katanya selepas melancarkan dengan Program Kitar Semula Bekas Racun Perosak peringkat negeri di Pinang Tunggal, baru-baru ini.

Roslan berkata, masih ada petani mengambil jalan mudah dengan membuang bekas racun ke dalam sungai atau tali air sedangkan cara itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada hidupan air.

Ketika ini, ada 224 kelompok petani di negeri ini membabitkan
12,700 orang sama ada sebagai pesawah, penanam sayur dan buah-buahan dengan lebih 400 daripadanya di kawasan Pinang Tunggal.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Normazirah Teh, berkata bekas racun perlu dibilas tiga kali sebelum boleh digunakan semula dengan diisi bahan lain selain makanan.

Katanya, secara purata setiap petani menggunakan dua bekas racun sebulan dan bekas berkenaan boleh dikitar semula.

"Buat permulaan, 10 sangkar disediakan di setiap daerah bagi membolehkan petani membuang bekas racun. Jabatan Pertanian akan bekerjasama dengan sebuah syarikat yang akan membeli bekas racun berkenaan untuk dikitar semula," katanya.

No comments: